CODE MUSIC ANDA

Saturday, 21 September 2013

Realiti penderita hepatitis B

Mungkin ramai diantara kawan sebaya aku yang kurang tahu tentang penyakit hepatitis b. Tapi apabila mereka tahu penyakit ini seperti apa, mereka menjadi gerun. Gerun dengan apa yang aku alami. Sekaligus wujud rasa gerun dalam hati mereka. Untuk mendekati aku. Inilah realiti pesakit hepatitis b. Realitinya pesakit hepatitis b di seluruh dunia sering mengalami diskriminasi. Termasuk aku.

Aku menghidap hepatitis b sejak lahir lagi. Sedih untuk aku mengaku yang kami tiga beradik alami penyakit yang sama. Kerana Mama dan Papa juga pembawa virus ini. Pendek kata, kami sekeluarga lengkap ada penyakit ini. Mungkin bagi adikku yang masih kecil, dia tak mengerti apa2. Syukur juga kerana antibodi badan adik seakan2 melawan virus ini. Dia juga jarang sakit. Dia sangat beruntung. Tidak seperti aku dan kakak.

Diskriminasi yang aku alami bukan saja datang dari orang luar, malah keluarga aku sendiri. Semasa kecik dulu, aku dapat rasakan yang Eyang, panggilan untuk Nenek, langsung tidak suka pada kami tiga beradik. Aku masih kecil, aku tak faham apa2. Aku ingat Eyang marah sebab aku mungkin buat salah. Lama kelamaan aku faham, dia memang tak sukakan aku. Aku cuba untuk bercakap dengannya. Pegang tangannya. Dia tak suka malah maki hamun yang aku terima. Aku tengok, sepupuku yang lain bermanja dengan Eyang, tapi aku tidak. Salah apakah aku? Aku sering berfikir. Mungkin aku terlampau nakal. Tapi jenis nakal apa yang sudah aku perbuat?

Saat aku tidur beramai2 dengan sepupuku yang lain, Eyang menarik tangan dan mengheret aku keluar. Dia tak mahu aku tidur bercampur dengan saudaraku. Masih terngiang2 di telinga, katanya, aku budak berpenyakit. Aku kembali tidur di samping Mama. Aku tak faham. Mungkin aku buat salah sebab tu Eyang marah padaku.

Masa makan, Eyang menyuruh aku cuci pinggan sendiri. Aku dimakinya. Beria ia bibik mahu membantuku. Tapi bibik pula diherdik. Alasan Eyang, penyakitku mungkin tertinggal pada sisa2 makananku. Nanti tersebar. Aku menangis sebab tak faham kenapa aku kena cuci pinggan. Mama berusaha membela aku. Tapi apalah kuasa Mama sedangkan dia umpama kuasa minoriti di rumah itu. Mama pula jenis yang tak suka bergaduh dengan orang lebih tua. Mama bertahan kerana rumah itu adalah keluarga Papa. Keluarga suaminya.

Satu hari, saudara jauh datang ke rumah. Bertanyakan aku. Selamba Eyang berkata, untuk apa berjumpa denganku. Apakah tak takut terkena penyakitku. Aku mendengar dari celah2 tangga.

Kakak selalu berkata, “They are all bad people. I want to go back to Sydney”
Itu ajelah ayat yang selalu kakakku tuturkan. Dia selalu berkata pada Mama, Let’s go back to our home. This is not our home.
Kakak memilih untuk bersendirian. Dia memilih untuk tak bergaul dengan saudara dan makcik pakcikku yang lain.

Pernah juga aku dipukul kerana sesuatu yang bukan salah aku. Aku hanya pergi makan buah rambutan. Tanpa dipinta, aku disebat. Kononnya akulah ketua yang mengajak makan buah rambutan. Padahal aku hanya ikut Maman.
Aku selalu kelihatan bersalah. Aku selalu kelihatan berdosa. Aku tahu Kakek sayang dan peduli pada aku. Tapi kebiasaannya pun dia membiarkan saja perbuatan Eyang. Papa mengerti keadaan itu. Pernah papa mengajak Mama untuk berpindah saja. Tapi Mama fikir tak baik untuk meninggalkan Kakek. Mama berusaha menjaga hati keluarga Papa.

Pengalaman di sekolah Gombak setia dulu adalah diskriminasi terbesar yang aku pernah rasa. Mulanya aku memang dapat kawan dekat sana. Tiba2 aku jatuh sakit. Seminggu tak datang sekolah. Aku terkena penyakit kuning. Mama berjumpa dengan cikgu untuk beritahu keadaan aku.

Selepas aku masuk sekolah, aku masih belum sihat sepenuhnya. Tiba2, semua kawan2 menjauh. Mereka macam tak nak bercakap dengan aku. Kenapa ya. Aku dah tersalah cakap ke. Hanya Bulat yang masih mahu baik dan kawan dengan aku. Bulat kata, masa aku tak datang, Cikgu A ada cakap kat kelas, penyakit aku lebih mudah berjangkit dari Aids. Hati menangis.

Ketara dari wajah Cikgu A, yang dia tak sukakan aku. Percaya tak kalau aku kata yang dia tak nak memandang wajahku? Aku benar2 perlukan bantuan masa tu. Banyak subjek yang aku tidak faham. Aku terlalu confuse dengan perbezaan bahasa. Tapi seakan2 berat untuk aku bertanya. Macam takde orang nak tolong. Akibatnya, ujian aku selalu dapat D atau E.

Aku tahu gara2 aku ada penyakit kuning, mata menjadi kekuningan, budak2 kata aku ni macam alien. Setan bermata kuning macam dalam cerita orang putih katanya.
Meja tempat duduk aku ada 3. Tapi semenjak mereka tahu tentang penyakit aku, aku dibiarkan seorang. Lagi dua kawanku selalu ambil tempat didepan. Drastik mereka berubah.
Rehat juga selalu aku makan seorang di dewan. 
Aku tahu, mereka gerun dengan penyakit aku. Mereka takut terjangkiti. Aku sunyi.

Masa subjek Pendidikan Islam, belajar tilawah AlQuran. Aku disuruh baca ayat Quran dalam buku teks. Aku cuma diam. Nak menangis rasanya sebab aku memang tak tahu baca Quran. Abi baru mengajarkan aku muqaddam aje. Belum tamat lagi. Bila aku diam, ustazah tanya, kenapa diam. Aku tak jawab.
Ustazah naik suara, AWAK TAK TAHU BACA ALQURAN FAIZAL???!!. Aku geleng.
Aku tunduk je. Semua memandang. Ustazah menggeleng2 kepala. Macam dia benci aku.
Tiba2 aku seakan nampak muka Eyang pada muka Ustazah. Semenjak penyakit aku diketahui, aku dilayan buruk. Padahal dalam kelas tu bukan aku seorang yang tak tahu baca quran….

Satu hari, aku pulang. Van tinggalkan aku. Menangis jugak aku dekat situ sebab mustahil nak jalan kaki. Jauh. Kalau ikutkan, aku tak keluar lambat sangat pun. Apa boleh buat. Aku jalan kaki. Tapi Allah membantu. Abi menjumpaiku tepi jalan. Dia membawa aku pulang.
Mama bertanya pada pemandu van. Pemandu itu cakap, maaf kak, bukan saya tak nak bawak anak akak, tapi saya takut budak2 lain terancam. Saya harap akak faham yang saya bawak banyak budak sekolah menengah, sekolah rendah. Kalau ada apa2 nanti, saya yang kena.
Hati Mama pilu. Aku mula putus asa.

Bila aku pindah sekolah, aku lebih mudah diterima. Gara2 selalu ada sokongan dari sahabatku azim, aku jadi lebih semangat dan gembira. Dia tahu keadaan aku. Entah kenapa dengan dia aku mudah untuk bercerita apa2.

Lama kelamaan kawan2 disekolah baru ini tahu jugak tentang penyakit aku. Masa nilah Nadia meninggalkan aku. Hubungan aku dengan Nadia sangat baik. Takde masalah apapun. Dia ajak makan. Kami makan. Dia ajak jogging. Kami jogging. Hubungan kami lebih dari kawan.
Sekelip mata, out of the blue, dia berubah.
Aku call, taknak angkat. Aku mesej, taknak balas. Aku fikir takde topup kot. Aku topupkanlah. Tapi takde respon.
Mungkin dia sakit. Aku pergi cari dia. Tapi dia macam nak lari.
Dan akhirnya, dia kata dia taknak jumpa aku. Dia nak kami jadi kawan je.
Hati aku terluka sebab tak tau dimana salah aku. Aku pasrah.

Kawan2 aku yang lain, terima aku seadanya walaupun agak terkejut mulanya. Mereka pernah dengar istilah hepatitis tapi tak pernah mendalami tentang penyakitku. Mereka tunjukkan rasa caring. Aku pernah pengsan masa hari sukan dan mereka tak galakkan aku bersukan.

Waktu demi waktu, aku masuk drama pentas. Bermain gitar dan menyanyi. Mereka memuji kebolehan aku. Aku mula dapat tempat di sekolah. Boleh belajar dengan baik. Untuk seketika, aku rasa aku dah bebas dari penghinaan. Sebenarnya tak.

Tanpa sengaja, aku terdengar seorang kawan berkata, faizal tu memanglah baik.tapi korang pernah bayangkan hidup dia macam mana?kaya pun tak guna kalau ada penyakit yang tak boleh sembuh.hensem pun tak guna kalau… haaa korang faham kan?

Aku tak marahkan dia. Aku terima kata2 dia. Memang betulpun.
Walaupun banyak kawan2 lain membantu aku, memberi galakan, tapi suara2 tidak suka itu tetap ada. Kita tak dapat nak puaskan hati orang di sekeliling kita.

Hakikatnya dalam dunia ni, pesakit hepatitis B susah nak kerja. Macam aku yang bercita2 untuk menjadi doktor. Itu angan2 yang tak akan tercapai. Mana boleh doktor ada penyakit macam ni. Serta merta dibuang kerja. Aku pernah dengar kes doktor yang dikesan dengan penyakit hepatitis b dipecat serta merta. Malah kat amerika, pelajar yang ada hepatitis b, permohonan pelajar tu dilambat2kan, malah ditolak.

Rawatan untuk penyembuhan juga masih belum ada. Hepatitis b masih belum ada penawarnya. Rasa fed up ulang alik check up tapi doktor takdepun cakap, ada harapan untuk sembuh. Takde pun. Orang lain yang sakit demam makan ubat. Ubat pahit pun ditelan sebab nak sembuh kan. Apa rasanya kalau kita makan ubat tiap2 hari tapi kita tahu kita takkan sembuh? Segelintir orang sahaja yang faham bagaimana sedihnya lalui semua ini.

Realiti penderita hepatitis b. aku harap semua penderita virus ni di luar sana akan terus gagah berjuang melawan penyakit ini. aku juga harap akan ada penawarnya suatu hari nanti. 
Allah menguji kerana manusia mampu menghadapinya
Bersyukur atas segala ujian Nya yang membantu jiwa kita kembali kepada Allah


-     - Firdie

No comments:

Post a Comment