CODE MUSIC ANDA

Tuesday, 24 December 2013

Kisah Seorang Sahabat

BAB 3

KRINGGGGG!!!!

       Loceng berbunyi menandakan waktu rehat. Faizal mengambil bekas makanannya dari dalam beg, dan bergegas ke dewan utama. Di pentas dewan sekolah itulah tempat Faizal sering makan semasa waktu rehat. Dia tiada kawan. Semua orang menjauhinya kerana Faizal menghidap penyakit Hepatitis B.

       Penyakit tersebut akan berjangkit kepada orang lain melalui cecair di dalam badan. Sama ada air liur, berkongsi makanan dan hubungan seksual. Penyakit Faizal mula diketahui semenjak dia menghidap demam kuning. Kulitnya dan matanya berubah menjadi kekuningan. Hidungnya juga sering berdarah. Meskipun kebiasaannya Faizal sering kelihatan sihat, tetapi rakan-rakannya takut untuk mendekati. Takut penyakit itu berpindah pula kepada mereka.

        Bukanlah tiada yang simpati pada Faizal. Faizal juga tidak banyak cakap dan tidak nakal. Namun, hakikat bahawa dia berpenyakit lebih menggerunkan. Tiada siapa yang mahu ambil risiko.

        Faizal pasrah. Layanan dingin oleh orang sekelilingnya semenjak dia berada di Tingkatan Satu sudah sebati. Faizal sudah lali. Dia tidak mengharapkan apa-apa lagi. Dia tidak menyalahkan mereka yang menjauhinya. Iyalah, mereka tidak mahu terjangkiti.

       Hari-harinya di sekolah dilalui bersendirian. Masuk kelas, belajar, makan, buat kerja sekolah. Hanya Tuhan yang tahu betapa sukarnya bagi Faizal untuk menyiapkan kerja sekolahnya. Dia cuba. Acapkali sering dimarahi kerana salah.
Tanpa berkata sepatahpun. Faizal hanya diam. Tidak pula dia menceritakan apa-apa pada Nadiya. Dan kalau boleh, Faizal juga tidak mahu mengusutkan lagi fikiran ibunya.

‘Sudah cukup banyak masalah timbul gara-gara aku. Aku tak nak susahkan Mama lagi’

          Sunyi. Faizal merasa sunyi. Sambil menikmati makanan yang dibawa dari rumah, fikiran Faizal menerawang.

Tiba-tiba…

“Hoi!!!!!”

Faizal dikejutkan dari belakang. Terbatuk-batuk Faizal dibuatnya.

‘Hish dia ni. Orang tengah makan dikejutkan macam tu’ gerutu hati Faizal.
Husni atau sering dipanggil Bob atau Gemok itu datang menghampiri Faizal. Lantas dia bersila di hadapan Faizal sambil memakan hot dog dan sandwich.

“Oi, kau selalu makan sini kan?”
Faizal mengangguk dan tersenyum pahit.

“Ala. Lain kali kau ajaklah aku makan sama-sama. Aku dah lama nak tegur kau tapi kau ni diam je. Dah tegur pun, kau tak respon” petah Bob.

“Kau tak takut ke dengan aku? Aku ada penyakit” suara Faizal perlahan.

“Apa pulak nak takut. Kalau aku beromen dengan kau, memanglah aku takut. Confirm terjangkit. Ni.. aku bercakap duduk borak-borak je dengan kau. Nak takut apanya? Takkan kau nak ajak aku beromen pulak”

“Kalau aku nak beromen, aku carilah yang kurus sikit” sengih Faizal.

Kedua-duanya ketawa.

“Aku ni gemuk gemuk comel. Kau apa tahu? Wei mak kau masakkan setiap hari untuk kau ke?”

Faizal menggangguk.

“Huyoo… Udang masak sambal. Kau kacukan kan? Tapi mak kau pandai masak makanan melayu”

“Ya. Mama kerja di restoran melayu. Sebab tu dia boleh masak makanan melayu. Mama aku pun suka makan petai dan asam pedas”

“Aku nak rasa”

Faizal segera menepis tangan Bob. “Tak boleh! Kita tak boleh kongsi makanan! Kau dah lupa ke aku ni..”

“A’ahlah. Lupa. Sorry-sorry. Nanti kalau mak kau masakkan yang baru, aku nak cuba gak. Nampak sedap je tu”

“Yalah. Nanti aku bawakkan lebih untuk kau”

Untuk seketika, Faizal rasa cukup berselera menjamah makanannya dengan adanya Bob. Untuk seketika, terasa lapang hatinya. Alhamdulillah.

***

        Selesai solat Zohor di surau sekolah, tatkala pintu Pusat Sumber dibuka pada waktu petang, Faizal berteleku di situ. Mencari-cari buku rujukan Pendidikan Islam. Dia ingin membuat nota Sirah. Dia cuba membaca tulisan jawi subjek Saidina Umar bin Al-Khattab. Terkulat-kulat Faizal cuba mengeja.

‘Tak boleh ni. Susah’

Rak demi rak Faizal mencari. Nampaknya tak ada pula buku rujukan Pendidikan Islam yang dicari.

‘Hmmm. Tak apelah. Nanti aku pergi beli buku tulah. Matematik pun kena siapkan ni’

‘Integer integer integer….’

‘Siap!!!!!’

Hati Faizal melonjak keriangan. Meskipun tidak tahu betul atau salah jawapannya, namun dia berjaya menyiapkan kerja sekolahnya itu. Esok tak perlulah dia gusar untuk berhadapan dengan cikgu matematik yang garang dan… Guru itu tidak menyukai Faizal dari dulu lagi. Hmmm… Tak kisahlah.

‘Ya Allah, terima kasih. Terima kasih atas kemudahan yang Kau berikan padaku untuk belajar’

Faizal bergegas keluar dari Pusat Sumber selepas meminjam satu buku cerita. Semasa dia sedang mengikat tali kasut…

“Aduh!!”
Faizal seperti dilanggar oleh seseorang.

“Amboi amboi rajinnya. Duduk library” Along ketawa sinis.

‘Ya Allah… Dia lagi. Tak cukup kat tempat ngaji. Sekolah pun nak ganggu jugak’

“Weh! Ada latihan rumah Biru sekarang. Yang kau duduk library apasal? Tempat kau sekarang kat padanglah!”

“Aku tak nak pergi”

“Siapa bagi kau tak pergi? Suka suka hati kau je kan. Kau ingat mak orang putih kau tu punya sekolah ke? Aku bagitahu Cikgu Zain”

“Aku ada banyak kerja sekolah…”

Along melihat buku di tangan Faizal lalu mencebik.

“Oh… Kerja sekolah? Meh aku tengok kerja sekolah apa yang kau buat!”. Along merampas buku latihan Faizal.

“Lah… Sikit je ni. Oh aku lupalah yang kau ni lembap. Soalan sikit pun  kena fikir lama-lama kan” sindir Along sambil membelek-belek buku Faizal.

“Kasi baliklah!!!” Faizal cuba merampas buku itu.

“Kalau kau nak, cubalah kejar aku!” Along berlari membawa buku Faizal. Mereka berkejaran di koridor.

“Along!!!!!” Faizal menjerit tatkala Along terjatuhkannya bukunya dari atas balkoni.

Faizal tidak mempedulikan Along lagi. Dia berlari menuruni tangga untuk mengambil bukunya.

Kelihatan beberapa orang pelajar mengerumuni kolam ikan.

“Weh, buku kau ke dalam kolam tu?” pelajar itu bertanya pada Faizal.

“Hah?” Faizal terkejut. Dia melihat buku latihan di dasar kolam ikan.

“Buku tu jatuh dari atas tadi” pelajar itu menyambung.

‘Ya Allah. Buku aku…’

Faizal lantas menghulurkan tangannya ke dasar kolam dan mengambil buku tersebut yang sudahpun basah kuyup.
“Acane boleh jatuh weh?” pelajar itu masih bertanya kehairanan pada Faizal.

        Faizal tidak mempedulikan soalan itu. Dia naik atas semula dan masuk ke dalam ruangan kelasnya. Dia ingin mengemas beg dan pulang. Air mata Faizal berlinang di pipi.
Akhirnya dia menangis juga. Sungguh pilu hatinya. Usaha yang dilakukan menjadi sia-sia.

        Faizal cuba membuka bukunya yang basah kuyup itu. Bukunya telah rosak. Helaian kertas terlekat dan koyak gara-gara basah. Tulisan pennya menjadi comot. Faizal menyeka air matanya namun, kerana terlampau sedih, Faizal sendiri tidak mampu menghentikan tangisannya. Dia menutup muka.

‘Kenapa jadi macam ni…? Apa aku nak jawab pada cikgu esok?’

***
          
         Faizal duduk di hadapan kipasnya yang diberi kuasa maksimum. Kipas itu dihalakan kepada bukunya dengan harapan buku itu dapat dikeringkan. Dia juga membuka lampu meja dan menghalakan ke arah buku tersebut.

‘Oh buku. Keringlah… keringlah…’

         Harapan Faizal meleset. Lantas Faizal menggunakan seterika dan menggosok bukunya. Ya. Kering pun! Tetapi, helaian buku itu menjadi keras.

‘Ini dah lagi keras dari roti bakar. Apa nak buat ni…’

Faizal bimbang. Buntu.


***
 

“Awak ni memanglah Faizal!! Selalu kerja sekolah tak siap. Kalau siap pun, semua jawapan salah. Awak ni sebenarnya nak belajar ke tak?! Kalau tak nak belajar, tak payah susah-susah datang sekolah menghabiskan duit mak bapak” marah Cikgu Atikah sewaktu melihat buku latihan Faizal yang tidak siap.

Malam tadi, Faizal cuba untuk menyalin semula latihannya ke dalam buku yang baru. Entah macam mana, gara-gara tertidur, dia hanya sempat menyalin separuh sahaja.


“Cikgu… Sebenarnya saya ada buat… Dah siap… Ni buku saya… Tapi semalam buku ni…” Teragak-agak Faizal berkata-kata sambil memberikan bukunya yang diseterika itu kepada Cikgu Atikah.

“Boleh tak Cikgu check jawapan saya?”

        Cikgu Atikah memegang buku itu dengan wajah sinis. Dia mencampak buku itu di lantai. Tersepai buku itu. Pelajar lain memandang dengan muka takut dan gerun. Seakan tak percaya dengan apa yang berlaku, Faizal mengutip bukunya.

“Faizal! Awak nak main-main dengan saya ke? Awak jangan uji kesabaran saya! Saya tak izinkan awak berada di dalam kelas saya! Awak duduk kat luar!!” Cikgu Atikah menghalau Faizal keluar.

       Bob merasa sedih melihat Faizal diperlakukan sebegitu.
‘Aku tak percaya Izal sengaja tak buat kerja sekolah. Lagipun, ada jugak cikgu macam ni’ getus hati Bob.

“Sian dia kan Gemok…” bisik Imran.

‘Ya! Kesian gila!’ geram rasanya hati Bob.

Faizal membawa buku matematik dan pencil box lalu duduk di luar pintu kelas. Tanpa dia sedar, sedari tadi Bob asyik cuba menoleh kepada Faizal.

Faizal menundukkan wajah. Air matanya jatuh mengenai bukunya. Sungguh dia tak larat. Sungguh dia tak tahan.

‘Mama…. Kenapa Mama lahirkan Nick? Kenapa Mama tak bunuh aje Nick…’

BERSAMBUNG…



No comments:

Post a Comment