Faizal pulang ke
rumah dengan wajah sugul. Nicky telah menanti kepulangannya di luar pintu rumah
bersama kucingnya, Ariel. Manakala ibunya masih belum pulang dari restoran.
Nicky melompat keriangan mendengar bunyi motorsikal abangnya.
“Kakak! Kakak! Mana
soto Nicky?” tanya Nicky sambil mengintai ke dalam bakul motorsikal Faizal.
Kosong. Tiada jawapan dari abangnya. Tiada senyuman. Tiada sapaan. Malah,
abangnya langsung tidak memandangnya. “Kakak….”
Nicky berjalan
mengikuti Faizal dari belakang. Dia telah menunggu kepulangan Faizal dari
tengah hari kerana abangnya itu telah berjanji untuk membelikannya soto. Kerana
berpegang pada janji abangnya, Nicky langsung tidak makan sepanjang hari,
semata-mata kerana ingin menunggu soto itu. Faizal masuk ke dalam bilik dan
menghempas pintu biliknya. Kuat berdentum. Nicky tidak sempat untuk memasuki
bilik abangnya dan dia dikejutkan oleh bunyi pintu yang kuat itu.
Nicky mendial
nombor telefon ibunya.
“Mama… Nicky lapar…
Kapan Mama pulang?”
“Sayang. Ask your
brother for food ya. He didn’t cook anything for you?”
“Mama… Kakak baru
pulang. Dia tak belikan apa-apa untuk Nicky. Dia tak layan Nicky”
“Hah? Ok sayang.
I’ll be home straight away”
Hati kecil anak itu
seakan memahami ada sesuatu yang menimpa abangnya. Pasti abangnya tidak mahu
diganggu. Nicky tidak sanggup lagi untuk menahan laparnya. Jam sudah
menunjukkan hampir pukul 7 malam. Dia memeriksa duit kertasnya yang diselitkan
dalam cakera padat Peterpan.
“Satu ringgit… Dua
ringgit… Tiga ringgit…”
Berbekalkan duit
RM3 itu, Nicky berjalan ke bawah bukit menuju warung Pak Mat.
“Nicky! Kenapa
sorang-sorang ni? Mana abang?” tanya Pak Mat kehairanan melihat anak kecil itu
berjalan sendirian pada waktu senja. Kebetulan, Wan Elham berada berdekatan
dengan situ.
“Nicky. Kenapa
datang sini sorang-sorang?” tanya Wan kepada Nicky.
“Nicky lapar…” kata
Nicky sambil mengusap perutnya.
“Ok. Nak makan
apa?”
“Nasi. Dan ayam…”
“Nasi goreng ayam
nak?”
Nicky
mengangguk-angguk. Wan memesan sebungkus nasi goreng ayam kepada Pak Mat.
“Kakak… Ayamnya
kasi tambah satu dong. Nicky rasa… Kakak Nicky belum makan juga. Pasti dia
lapar” pinta Nicky.
“Hah? Kakak Nicky
ada kat rumah?”
“Ada…”
‘Hah? Melampau si
Faizal ni. Sampai hati biar adik dia turun bawah seorang-seorang beli makanan!
Kalau hilang macam mana?’
Setelah nasi goreng
itu siap, Wan membayarkannya untuk Nicky dan menghantarkan Nicky pulang. Tidak
sanggup rasanya untuk membiarkan Nicky berjalan kaki sendirian. Dalam
perjalanan ke rumah Faizal, mereka terserempak dengan Azim.
“Hoi! Pergi mana
ni?” sapa Azim.
“Ni ha. Nicky tadi
pergi warung bawah sorang-sorang. Katanya lapar. Tak sampai hati pulak aku nak
biarkan dia”
“Sorang-sorang?”
“Yelah. Faizal ada
kat rumah kan? Meh aku nak ajar dia sikit”
“Weh. Jangan weh.
Dia tengah… Kalaulah kau tahu apa dah jadi dekat dia hari ni”
“Apa yang jadi?”
“Takpe. Nanti aku
cerita. Sekarang biar aku yang teman Nicky. Aku nak tengok keadaan Faizal”
Sampai sahaja di
rumah Faizal, Azim lantas bergegas mencari Faizal di biliknya. Dia membuka
pintu bilik Faizal. Bilik itu gelap gelita. Sedangkan jam sudah menginjak ke
pukul 8 malam. Azim memetik suis lampu dan melihat Faizal sedang tertiarap di
atas lantai.
“Ya Allah bro!
Kenapa dengan kau ni?” tanya Azim cemas. Faizal sedang baring tertiarap dan
menangis teresak-esak.
“Bro! Bangun bro!”
kata Azim sambil membangunkan badan Faizal yang masih lengkap beruniform
sekolah.
“Kenapa Allah tak
bunuh je aku masa kemalangan tadi…? Kenapa? Kenapa dia bagi aku penderitaan
macam ni? Kenapa dia tak cabut je nyawa aku…? Aku nak mati…” kata Faizal lemah.
“Astaghfirullahalazim.
Mengucap Zal, mengucap. Kau tak boleh cakap macam ni…”
“Aku tak nak hidup
lagi…”
“Zal! Kau seorang
yang percayakan rahmat Allah kan? Kau percaya kan? Bro! Jangan seksa diri kau
macam ni! Jangan persoalkan Tuhan! Aku tahu kau bukan jenis orang yang macam
tu! Zal! Solatlah… Berdoalah kepada Allah. Mohon kat Dia!”
Mendengar perkataan
solat, Faizal beristighfar panjang. Dia tiba-tiba sedar dia telah kehilangan
waktu solat Zuhur, Asar dan Maghrib hari itu.
Faizal menunaikan
solat Isyak, diikuti dengan solat qada Zuhur, Asar dan Maghrib. Lalu, dia
mengerjakan solat sunat taubat. Dia memohon ampun akan keterlanjuran
kata-katanya tadi. Dia memohon agar Allah mengampunkan dosanya yang tidak
menunaikan solat pada hari itu.
Lama Faizal
berteleku di sejadah. Dia memohon kekuatan dari yang Maha Esa. Dia menangis dan
cuba membaca Al-Quran. Sesekali air matanya menitik pada Al-Quran. Nicky masuk
ke bilik Faizal sambil membawa sebungkus nasi goreng yang dibelinya tadi dan
sebotol air yang dikepit di ketiaknya. Dia duduk di hadapan Faizal.
“Kakak! Nicky bawa
nasi goreng”
Serentak itu juga
Faizal teringat bahawa dia belum menyediakan makanan untuk adiknya.
“Ya Allah sayang.
Sayang dah makan?” tanya Faizal sambil mengusap-ngusap kepala Nicky.
“Sudah kok. Ini
kakak makan. Kakak mesti lapar…”
“Tapi kan, nasi ni
banyak lagi. Nicky dah makan ke belum?”
“Sudah. Tapi Nicky
bahagikan nasi ni jadi dua. Yang ini kakak punya. Kakak kena makan lebih banyak
dari Nicky sebab Kakak kan penat”
Nicky mencubit ayam
lalu menyuapkannya ke bibir Faizal. Air mata Faizal mengalir sekali lagi. Dia
sama sekali tidak menyangka gadis kecil itu mempunyai perasaan dan mengerti.
Dia memeluk erat dan mencium pipi adiknya.
“Maafkan kakak
sayang…. Kakak terlalu pentingkan diri. Kakak hanya fikirkan beban kakak sahaja
sampai melupakan kamu”
Azim meninggalkan
rumah Faizal. Begitu terharu melihat kasih sayang Faizal dan adiknya.
No comments:
Post a Comment